27/01/2013:Bahan Berita Siaran Sabah FM 4.30 Petang

Disediakan Oleh: Re Disunting oleh: Artika

ASSALAMUALAIKUM, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

TAJUK-TAJUK UTAMA BERITA……

* KEKALKAN SEMANGAT TOLERANSI DEMI PERPADUAN.

* PENDIDIKAN PENTING UNTUK MEMAJUKAN NEGARA.

* SAMBUTAN THAIPUSAM DI SABAH, TONJOL ELEMEN 1MALAYSIA.

BERITA SEPENUHNYA………..

Keamanan dan keharmonian yang dikecapi rakyat di negeri ini adalah hasil semangat toleransi dan permuafakatan rakyat pelbagai kaum.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mahu rakyat sentiasa menghargai dan menghormati antara satu sama lain.

Datuk Musa berucap pada majlis penyampaian Angpow kepada warga emas di Dewan Sibuga Jaya, Sandakan. Seramai 700 orang warga emas menerima sumbangan angpau, limau mandarin dan beras pada majlis itu.

Beliau berharap semangat toleransi dan permuafakatan akan terus menjadi pegangan agar usaha membangunkan negeri ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Pada majlis tersebut, Datuk Musa turut melancarkan kaunter bantuan lesen 1Malaysia yang dibuka kepada pemohon berusia antara 15 hingga 40 tahun.

Terdahulu, beliau meluangkan masa bertemu dengan para peniaga dan masyarakat Tiong Hua di Bandar Sibuya Jaya dand Pasar Batu 8, Sandakan serta membuat tinjauan ke Pusat Daerah Mengundi Parti Gerakan DUN Sibuga.

Rtka/Rtka (diman/cov)
—————————————————————–

Pendidikan merupakan elemen terpenting memajukan sesebuah negara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Hj Apdal berkata, ilmu pengetahuan dan kemahiran mampu melahirkan modal insan yang mantap dan insan kamil sebagai generasi peneraju masa hadapan negara.

Sehubungan itu, generasi muda perlu sentiasa berusaha menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang agar mampu menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Pelajar sempena penangguhan Mesyuarat Majlis Guru Besar Daerah, di Semporna.

Rtka/Rtka (tamrin/cov)
———————————————————————

Sambutan Hari Thaipusam di negeri ini tetap meriah walaupun masyarakat India merupakan golongan minoriti di Sabah.

Tinjaun Kru RTM di sekitar Kuil Sri Subramaniar, Kem Lok Kawi sempena sambutan tersebut mendapati penganut Hindu datang sejak awal pagi untuk bersembahyang bagi menunjukkan tanda kesyukuran dan menebus dosa.

Sambutan kali ini memaparkan elemen 1Malaysia dengan menampilkan tiga pembawa ‘kavadi’ berdarah campuran India-Kadazandusun dalam perarakan dari tebingan Meruntum ke kuil berkenaan di Lok Kawi.

Aktiviti mencukur rambut yang merupakan salah satu bentuk membayar nazar turut diadakan di luar kuil.

Thaipusam dirayakan penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ dalam kalendar Tamil yang lazimnya jatuh pada Januari atau Februari.

Rtka/Rtka (ear/cov)
———————————————————————

Rakyat di negeri ini perlu bersyukur kerana diberi kebebasan  mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan masing-masing tanpa sekatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Haji Hajiji Haji Noor berkata, rakyat tidak pernah dilarang menyambut perayaan mereka.

Faktor tersebut menjadikan Malaysia sebuah negara istimewa kerana penduduknya dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Sehubungan itu, rakyat perlu terus mengukuhkan perpaduan sedia terjalin dan saling hormat menghormati agar kesejahteraan hidup yang dirasai kini dapat terus dinikmati generasi akan datang.

Beliau berucap merasmikan Pesta Angpow sempena Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA Tuaran di Dewan Sri Sulaman Tuaran.

Datuk Hajiji turut menegaskan kerajaan sedia ada akan terus membela nasib dan kepentingan semua kaum termasuk masyarakat Tiong Hua agar tidak ada rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan negara.

Rtka/Rtka (sheryl/AG/cov)
———————————————————————

Program Transformasi Belia seperti ‘1Malaysia For Youth’ (IM4U) dan My Beaufiful Malaysia merupakan bukti keprihatinan dan kesungguhan kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan belia.

Pengiktirafan itu sejajar dengan peranan golongan belia sebagai nadi dan penggerak utama dalam merealiasikan gerakan transformasi negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd. Dun menyatakan demikian kepada media selepas perasmian Pesta Angpau di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Kung Ming, Beaufort.

Datuk Azizah mengajak golongan berkenaan memberi sumbangan idea kreatif dan inovatif bagi membantu memacu Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pesta Angpau bersempena Sambutan Tahun Baru Cina ini turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan masyarakat Tiong Hua seperti Tarian Naga dan Singa menggunakan teknologi LED serta nyanyian dan tarian kanak-kanak pra-sekolah.

Rtka/Rtka (FM/cov)
————-
Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam perlu mencontohi usaha Persatuan Kebajikan Pesakit-Pesakit Islam Kota Kinbalu (GERAK KASIH) dalam usaha mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran berkata, usaha itu dapat dilaksanakan dengan menerapkan nilai-nilai murni berteraskan Islam dalam aktiviti yang dilaksanakan.

Beliau yakin usaha itu dapat meningkatkan akidah umat Islam malah menjadi tarikan kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali ajaran Islam secara lebih mendalam.

Dato Sri Nasir berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pertama GERAK KASIH dan pelancaran Kelab Remaja GERAK KASIH di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Hajah Zaiton OKK Anik.

GERAK KASIH adalah persatuan yang mensasarkan pesakit, ahli keluarga dan masyarakat setempat sebagai sasaran aktiviti dakwahnya yang menitikberatkan aspek akhlak dan kebajikan.

Rtka/Rtka (sahira/cov)
———————
Pepatah Melayu ‘Pisang tidak berbuah dua kali’ memberi pengertian berbeza kepada penduduk Taman Olivia Kepayan dekat Kota Kinabalu.
Ini kerana, pokok pisang yang ditanam di halaman Surau taman tersebut berbuah dua kali. Kejadian berkenaan menggemparkan penduduk taman berkenaan.

Kru berita RTM turut melihat sendiri keajaiban tersebut.
Menurut salah seorang penduduk taman itu, Mahali Nordin, beliau dimaklumkan mengenai peristiwa itu daripada  rakan-rakan surau pada minggu lalu.

Manakala, Jali Saharudin yang juga penduduk taman tersebut yang menanam pokok pisang tersebut empat tahun lalu menyifatkan kejadian tersebut adalah kekuasaan Allah.

Sebelum ini, pokok pisang tersebut pernah berbuah dua kali tetapi hanya mempunyai dua jantung pisang berbanding empat jantung pisang kali ini.

Rtka/Rtka (salma/cov)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s