31/01/2013: Bahan berita ehwal semasa terpilih siaran berita Sabah FM 4.30 petang

Disediakan Oleh: Remie      Disunting oleh: Aliza Ali

ASSALAMUALAIKUM, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA

TAJUK-TAJUK UTAMA BERITA……

*       MASUK TANPA DOKUMEN SAH DAN MELALUI PINTU MASUK TIDAK DIWARTAKAN – SUATU KESALAHAN

*       FAHAMI MAKNA TERSIRAT SETIAP SAMBUTAN PERAYAAN

*       PBT HARUS SELARAS LALUAN MASUK KELUAR KENDERAAN DI KAWASAN PERUMAHAN

BERITA SEPENUHNYA………..

_____________________________________________________________

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah diteruskan dengan saksi ke-50.

Ketua Bahagian Unit Khas, Jabatan Imigresen Negeri, Abdul Khalid Abdul Karim memberitahu panel suruhanjaya, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu atau rakyat luar yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.

Terdapat tiga pintu masuk utama ke negeri ini, iaitu melalui jalan darat iaitu Sindumin, Long Pasia dan Pagalungan, jalan udara; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Sandakan dan jalan laut; menerusi Sipitang, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Semporna.

Abdul Khalid juga menjelaskan sebanyak 98-ribu 427-kad IMM13 telah dikeluarkan kepada pelarian sehingga Disember tahun lepas. Pengeluaran IMM13 diberikan kepada pelarian Selatan Filipina yang bergolak akibat peperangan.

Sementara itu, saksi ke-51, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Putrajaya, Md. Solehan Omar memberitahu hanya mereka yang bertaraf warganegara dan berumur 12 tahun ke atas layak memohon Mykad. Siasatan lanjut akan dibuat terhadap individu bukan warganegara tetapi mempunyai Mykad.

~alizaali/Maria/Cov

———————————————————————–

Di sebalik setiap sambutan perayaan, pasti ada makna tersirat. Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman mengajak rakyat untuk memahami makna dan pengajaran di sebalik setiap perayaan. Ini penting agar setiap perayaan tidak hanya disambut sebagai tradisi semata-mata.

Tahun Baharu Cina misalnya, memperlihatkan betapa masyarakat Cina sentiasa meletakkan generasi tua pada kedudukan tinggi dalam institusi keluarga.

Sehubungan itu, Datuk Musa mengajak rakyat memberi penekanan tinggi terhadap amalan hormat-menghormati dan berbudi bahasa dalam diri, sekaligus mengekalkan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Beliau berucap demikian sempena Jamuan Malam Keluarga Mesra 1Malaysia dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2013 di Beaufort. Lebih 5-ribu masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis itu.

Datuk Musa turut mengumumkan peruntukan 300-ribu ringgit bagi pembinaan bumbung gelanggang bola keranjang S.M St. Paul, 54-ribu ringgit untuk membina atap dan ruang pejalan kaki, dan masing-masing 200-ribu ringgit kepada SRJK Kung Ming dan Beaufort Middle School serta seratus ribu ringgit bagi tujuan baik pulih bangunan SJK(C) Pie Yin, Membakut.

~alizaali/ear/zf/cov

———————————————

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta menyelaras laluan keluar masuk kenderaan di kawasan perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Putatan. Ia bagi mengelak kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin mencadangkan beberapa mekanisme perlu dirancang sebelum sesuatu projek dilaksanakan. Ia bagi mengelak masalah jalan raya tidak dapat dibina disebabkan hak pemilikan tanah berbeza.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Petagas bercakap kepada media selepas melawat Projek Perumahan SPNB Putatan.

Perumahan SPNB sebanyak seribu 12-unit yang hampir habis dijual itu dijangka menambah kepesatan pembangunan ekonomi Putatan.

Datuk Yahya kemudiannya meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan beberapa pemimpin masyarakat Cina di Putatan. Beliau turut mengagihkan kiriman hormat, buah tangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada masyarakat Cina di kawasan itu.

~alizaali/Fa/Cov

—————————

Enam isu yang sering diputarbelitkan pihak pembangkang diperjelas untuk meningkatkan kefahaman rakyat. Enam isu itu ialah Borneonisasi, Minyak, Kemiskinan, Rasuah, Tanah Adat NCR dan Sabah Sebuah Negara.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yakin langkah itu akan memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat sekaligus meyakinkan mereka terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada.

Beliau berucap pada Majlis Taklimat Isu-Isu Semasa, Jabatan Penerangan Negeri di Wisma Dang Bandang, Kota Kinabalu.

Dalam sesi soal jawab kemudiannya, Datuk Rahman yang juga Setiausaha BN Negeri menyuarakan keyakinannya terhadap kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Lebih seratus warga Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hadir pada taklimat itu.

~alizaali/Rita/Tony/Cov

——————————-

Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan hampir semua keperluan mendesak bagi penduduk di sesebuah kawasan.


Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti keupayaan BN melaksanakan tanggungjawabnya selaku kerajaan.

Kerajaan sentiasa peka terhadap permasalahan rakyat, terutama keperluan terhadap kemudahan infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik serta jalan raya. Ini kerana keperluan asas itu mampu memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat.

Sehubungan itu, Datuk Ghafur yang juga Ketua Bahagian Umno Kalabakan mengingatkan rakyat agar bersyukur atas segala nikmat pembangunan serta bijak memilih pihak yang boleh membawa pembangunan berterusan kepada rakyat dan negara.

Beliau menyatakan perkara itu pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Sentosa Hiltop, Tawau.

~Tamrin/Cov

——————————–

Kepelbagaian cabaran dalam perkhidmatan awam menuntut pejawat awam meningkatkan kecemerlangan dengan menghayati nilai-nilai positif dalam perkhidmatan.

Jelas Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Abu Bakar Hassan, penghayatan nilai-nilai murni bukan sahaja dapat meningkatkan daya integriti, malah melatih penjawat awam untuk menolak gejala negatif seperti rasuah dan penyelewengan kuasa dalam perkhidmatan.

Beliau berucap merasmikan Majlis Pelancaran Wacana Minda Tahun 2013 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kota Kinabalu. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Ruji Ubi.

Dato Abu Bakar berharap program itu akan diteruskan pada masa  akan datang untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam mengambil bahagian dalam program-program keilmuan.

Lebih 200-orang terdiri daripada penjawat awam, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hadir pada majlis itu.

Terdahulu, hadirin turut berpeluang mendengar ceramah bertajuk ” Keunggulan dan Keagungan Rasulullah” yang disampaikan Pendakwah Bebas, Datuk Haji Ahmad Mustafa Haji Karim.

~alizaali/sahira/cov

—————————

Sebuah pejabat dan setor menyimpan papan, sebuah kilang papan di Tanjung Batu Tengah Logpond dekat Tawau terbakar, AWAL PAGI TADI.

Penolong Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Faisal Ahmad berkata pejabat berkenaan rosak 70-peratus manakala setor tersebut musnah 10-peratus.

Bomba menerima panggilan pada 2.06-minit pagi sebelum menggegaskan dua jentera dan tiga kenderaan lain beserta 24-anggota yang dapat mengawal kebakaran pada 2.49-pagi.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, empat blok rumah kongsi dengan 48-pintu di Jalan Sin On Tiku musnah dalam kebakaran petang semalam.

Menurut Faisal, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.09-minit petang sebelum menghantar dua jentera dan tiga kenderaan lain beserta 19-anggota. Api dapat dikawal pada 5.57-petang.

~alizaali/Brnm.

Salam 1 Malaysia

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s