Daily Archives: 15 Februari 2013

15/2/13: Pendidikan Awal Di Tadika Membantu Perkembangan Sikap Kanak-Kanak

Peranan guru tadika dalam pendidikan awal kanak-kanak tidak pernah dinafikan. Ini kerana selain bapa, guru tadika merupakan antara rujukan awal kanak-kanak.

Sehubungan itu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok menyarankan guru-guru tadika agar sentiasa kreatif dan bijak dalam menyampaikan ilmu kepada kanak-kanak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang, berucap sempena Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia kepada 27-guru Tadika Yue Min, Penampang.

Menurut Tan Sri Bernard, pendidikan kini tidak hanya tertumpu kepada pencapaian cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga seimbang dengan perkembangan sikap kanak-kanak.

Ke arah itu, guru-guru tadika perlu lebih berdedikasi dan memiliki kepimpinan tinggi.

~alizaali/ear/fa/cov

~mdre~

Advertisements

15/2/13:796 Orang Dari 12 Kampung, Mukim Tongod Terima BR1M

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) terus diagihkan kepada golongan yang layak di seluruh negeri.

Terkini, seramai 796-orang dari 12-kampung dalam mukim Tongod menerima bantuan tersebut yang disampaikan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Ketika berucap sempena Majlis Penyampaian BR1M Peringkat Daerah Tongod di Dewan Serbaguna Tongod, Datuk Bung menjelaskan BR1M merupakan antara bantuan yang disalurkan Kerajaan untuk membela nasib rakyat.

Sehubungan itu, rakyat harus sedar dan bijak menentukan Kerajaan menerusi pilihan raya akan datang demi kesinambungan masa depan yang lebih terbela.

Datuk Bung yang juga Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan menegaskan perpecahan sokongan dalam kalangan rakyat akan membantutkan rancangan pembangunan kerajaan sedia ada.

~alizaali/dman/nizam/cov

~mdre~

15/2/13: Ops Letup Siri 3/2013 , 13 Kes Tangkapan, 2 Kes Rampasan

Kastam Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya merampas mercun dan bunga api dengan nilai kerugian hampir 15-ribu 595-ringgit menerusi Ops Letup Siri 3/2013 di seluruh negeri.

Menurut Pengarah Kastam Negeri, Dato’ Dr. Haji Janathan Kandok, kejayaan itu melibatkan 15-kes, iaitu 13-kes tangkapan dan 2-kes rampasan, masing-masing di Daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan, Kudat, Lahad Datu dan Keningau.

Turut ditangkap, 15-suspek melibatkan 12-kes kompaun bernilai lebih 27-ribu ringgit.

Dato Janathan menyifatkan Ops Letup kali ini berjaya kerana senario bermain bunga api di negeri ini menurun 70-peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media di pejabat Kastam Kota Kinabalu.

Dalam operasi sama, Kastam juga berjaya merampas rokok, minuman keras dan 3-kenderaan bernilai 530-ribu ringgit termasuk cukai di Lahad Datu dan Tawau. Kejayaan itu melibatkan 22-kes, iaitu 9-kes tangkapan dan 13-kes rampasan.

~alizaali/Jane/Arnold/Cov

~mdre~

15/3/2013: Bantuan Sektor Swasta Untuk Membina Asrama Sekolah Luar Bandar Di Hargai

Kawasan Parlimen Kota Marudu bertuah mendapat bantuan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melengkapkan keperluan sekolah luar bandar.

Asrama desa ketujuh akan dibina di kawasan itu dibiayai Yayasan SP Setia, yang akan memberi manfaat kepada murid-murid SK Matunggong yang kini berjalan beberapa kilometer ke sekolah setiap hari.

ESOK, Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan asrama berharga 300-ribu ringgit yang boleh memuatkan seratus pelajar.

Menurut Datuk Seri Dr Maximus, usaha membawa kemudahan dan perkhidmatan ke kawasan luar bandar perlu melibatkan sektor swasta dan NGO. Ia sekaligus menjadi ruang bagi pihak tersebut untuk menyumbang meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar.

Datuk Seri Dr Maximus sebelum ini turut bekerjasama dengan rakan-rakan korporat lain membina enam asrama di Kota Marudu. Kebanyakan asrama tersebut diserahkan kepada Jabatan Pelajaran yang menyediakan makanan harian pelajar.

~alizaali/Brnm

~mdre~

15/2/13: Projek Lebuh Raya Pesisir, Tuaran-Matunggong-Kudat Bakal Beri Impak Positif

Cadangan pembinaan pelbagai infrastruktur seperti Projek Lebuh Raya Pesisir menghubungkan Tuaran-Matunggong-Kudat memberi impak besar dalam mengubah landskap ekonomi khususnya eko-pelancongan di Kudat.

Wakil Rakyat Tanjung Kapor, Datuk Teo Chee Kang menjelaskan Kudat merupakan pusat perniagaan yang strategik dalam Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Sehubungan itu, cadangan pembinaan Lebuh Raya Pesisir itu akan melengkapkan lagi prasarana lebih kondusif di Kudat, seterusnya meningkatkan potensi daerah itu dalam bidang eko-pelancongan.

Datuk Teo ditemui semasa menjadi tetamu Rancangan Diari YB di Konti Radio Malaysia Sabahfm, Kompleks Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Sabah di Kota Kinabalu.

Pembinaan lebuh raya tersebut dipersetujui Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa melawat Kudat, hujung tahun lalu.

~alizaali/farizie/cov

~mdre~

15/2/13: Cadangan Pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Kudat

Sementara itu, Datuk Teo yang juga Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah turut mengulas mengenai cadangan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kudat.

Jelas beliau, cadangan itu yang diumumkan Perdana Menteri amat bertepatan dengan usaha mewujudkan hab pengangkutan di bahagian Utara Sabah.

Ini kerana pembinaan kompleks itu mampu mempertingkat hubungan dua hala antara Sabah dan Pulau Palawan di Selatan Filipina.

CIQ yang disifatkan mercu tanda kepesatan pembangunan Kudat juga diyakini berupaya menarik kemasukan kapal-kapal dagang menerusi pelbagai aktiviti ekonomi, perniagaan dan pelaburan dalam rantau BIMP-EAGA.

~alizaali/Farizie/Arnold/Cov

~mdre~

15/2/13 : Ops Keselamatan Sempena Tahun Baru Cina, Lebih 8 Ribu Kenderaan diperiksa

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri memeriksa lebih lapan ribu kenderaan menerusi Ops Keselamatan sempena Perayaan Tahun Baharu Cina sejak 3-Februari lalu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri, Haji Mohd Shuhaili Mohd Taufek, daripada jumlah itu, seribu 539-pemandu kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan. Antaranya, memotong di garisan berkembar, memotong secara berbahaya, tidak mematuhi lampu isyarat dan tidak memakai tali pinggang keselamatan.

Hasil pemeriksaan juga mendapati 359-pemilik kenderaan tidak memperbaharui cukai jalan.

Sehingga kini, JPJ telah mengeluarkan sebanyak seribu 497-saman.

Haji Mohd Shuhaili menyatakan perkara itu dalam sidang media sempena Ops Keselamatan di Kota Kinabalu.

Di Sabah, operasi itu tertumpu di kawasan iaitu Lahad Datu, Tawau dan dua masing-masing di Sandakan dan Kota Kinabalu.

Ops Keselamatan sempena Perayaan Tahun Baru Cina akan berakhir Ahad ini.

~alizaali/sahira/Cov

~mdre~