Daily Archives: 17 Februari 2013

17/02/2012: Penglibatan sukarelawan di hospital dicontohi.

Usaha Persatuan Kebajikan Pesakit-pesakit Islam Kota Kinabalu (GERAK KASIH) menempatkan sukarelawan di hospital-hospital seharusnya dicontohi Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Haji Ahmad Sabari Kamari berkata, dengan adanya penyertaan dan sokongan daripada NGO lain ia  bukan sahaja meringankan beban kerja kakitangan sedia ada malah membolehkan pelbagai aktiviti bermanfaat dapat dilaksanakan.

Beliau ditemui RTM selepas melawat Sekolah Dalam Hospital di Wad Melur 1 dan 2  Hospital Likas Kota Kinabalu. Lawatan itu merupakan anjuran JPN dengan kerjasama Gerak Kasih Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, Pengerusi Gerak Kasih, Jamrie Saparih memberi jaminan pihaknya sentiasa menyokong usaha JPN bagi membantu mengendalikan sekolah dalam hospital berkenaan.

Ini termasuk menempatkan 20 hingga 30 sukarelawan bagi setiap sesi pembelajaran berlangsung.

Sekolah Dalam Hospital ditubuhkan bagi membolehkan pesakit berumur 5 hingga 11 tahun meneruskan pembelajaran walaupun berada di hospital.

Sesi pembelajaran selama 2 jam bermula pukul 10-pagi setiap Ahad itu dikendalikan dua orang guru dan pemantau dari Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, JPN.

Sahira/cov/Ann                                                                             ~mfja~

 

Advertisements

17/02/2013: Bumiputera perlu mengamalkan persaingan sihat dengan masyarakat lain..

Bumiputera di negeri ini perlu mengamalkan persaingan sihat dengan masyarakat lain agar tidak ketinggalan dari arus pembangunan perdana.

Presiden Kadazan, Dusun, Murut (KDM) Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada bumiputera sekaligus memberi mereka peluang untuk menyumbang terhadap perkembangan ekonomi dalam skala yang lebih besar.

Langkah itu sejajar usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi terutama dalam kalangan bumiputera.

Beliau berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran KDM Malaysia di padang bandaran Keningau.

Pada majlis itu, peruntukan 20-ribu ringgit turut disalur kepada Sekolah Agama Kampung Bayangan Keningau.

rb/Loy/Cov/Ann                                                                                         ~mfja~

17/02/2013: Generasi muda disaran aktif berpersatuan ke arah nilai-nilai positif.

Generasi muda perlu diberi pengetahuan secukupnya berkaitan sejarah dan asal usul nenek moyang, adat resam dan kebudayaan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, ini kerana generasi muda merupakan golongan penentu rumpun bangsa Malaysia yang berkualiti, berwawasan dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

Beliau berucap merasmikan penubuhan Persatuan Bangso Bajau Sama Sabah (PBBSS) di Tuaran.

Datuk Musa turut menyarankan generasi muda agar menyertai dan mengangotai mana-mana persatuan yang menjurus ke arah nilai-nilai positif demi memperkukuhkan semangat perpaduan dan harmoni antara satu sama lain.

Langkah itu bukan sahaja mampu memelihara segala warisan kebudayaan kaum malah menghindarkan mereka daripada terjebak gejala tidak sihat yang akhirnya merosakkan masa depan sendiri.

Mengenai penubuhan PBBSS, Datuk Musa yakin persatuan tersebut akan memberi suatu wadah yang penting bagi generasi muda untuk lebih menghargai dan memahami betapa hebatnya sesuatu bangsa jika memiliki kesatuan sendiri.

Terdahulu, Presiden PBBSS Datuk Haji Hajiji Haji Noor dalam ucapannya berkata, persatuan itu juga akan memainkan peranan sebagai membantu kerajaan untuk mempromosi produk pelancongan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negeri ini.
Donny/mun/ay/cov/Ann                                                                ~mfja~

17/02/2013: Perpaduan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan pemangkin keberkesanan pembangunan masyarakat.

Berucap pada majlis sama, Datuk Musa menegaskan, perpaduan dan sokongan padu rakyat terhadap Kerajaan menjadi faktor utama program pembangunan Kerajaan berjalan lancar dan berkesan.

Sikap saling bantu membantu antara rakyat dan Kerajaan memudahkan para pemimpin menyusun program pembangunan secara sistematik.

Selain sokongan rakyat, penjawat awam juga tidak ketinggalan memainkan peranan dengan menjalankan tugas dengan berkesan. Ini terbukti apabila Ketua Audit Negara mengiktiraf Sabah sebagai sebuah negeri yang memiliki pengurusan yang cekap.  

Rakyat mampu melihat sendiri perubahan yang berlaku di setiap pelusuk negeri ini. Meskipun pihak pembangkang berusaha untuk memburuk burukkan imej kerajaan, namun rakyat bijak membezakan antara realiti dan angan-angan.

HOH/Mun/Farizie/Ann                                                                 ~mfja~

17/02/2013: Sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina LDP Meriah.

Amalan kunjung mengunjung sempena perayaan Tahun Baharu Cina masih diteruskan, walaupun kini masuk hari ke-8.

Tidak ketinggalan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang menganjurkan rumah terbuka dan dihadiri lebih 500 pengunjung sekitar Kota Kinabalu.

Sambutan rumah terbuka berkenaan meriah dengan pelbagai persembahan nyanyian, muzik dan tarian singa yang disajikan kepada pengunjung.

Lebih meriah apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Hajah Norlidah Datuk RM Jasni turut berkenan hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Rita/Ms/Cov/Ann                                                                ~mfja~

17/02/2013: Komitmen kerajaan dalam membantu proses pembinaan sekolah terus dilaksana.

Sementara itu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan 500-ribu ringgit bagi menyiapkan Sekolah Rendah Che Hwa, Kolombong Inanam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman menjelaskan, ia merupakan komitmen kerajaan dalam membantu proses pembinaan sekolah berkenaan yang berpindah dari sekolah asal di Weston, Beaufort ke tapak baharu berkenaan.

Pendekatan itu penting bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap keperluan pendidikan melibatkan masyarakat Tiong Hua di Kolombong, Inanam dan kawasan sekitarnya.

Datuk Musa berucap sempena Majlis Tahun Baharu Cina Bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua di Dewan Hakka Sabah, Kota Kinabalu.

Majlis tersebut diserikan dengan persembahan tarian dari Sekolah Tinggi Kota Kinabalu. Lebih 400 ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua sekitar ibu negeri hadir dalam majlis tersebut.

Farizie/MS/Cov                                                                              ~mfja~

17/02/2013: Penglibatan golongan muda dalam kegiatan kemasyarakatan mampu melahirkan masyarakat prihatin dan penyayang.

Graduan muda di negeri ini diminta menyokong program pembangunan masyarakat dengan melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said berkata, penglibatan golongan berkenaan dalam kegiatan tersebut mampu melahirkan masyarakat yang prihatin dan penyayang.

Beliau berucap pada Majlis Bersama Graduan Bumiputera Sabah di Kota Kinabalu.

Golongan berkenaan boleh menyertai pelbagai pertubuhan mahupun organisasi yang terlibat aktif memberi khidmat kepada masyarakat seperti Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang menjadikan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sebagai salah satu matlamat penubuhannya.
 

Dalam pada itu, golongan graduan turut diingatkan agar bijak menilai sebarang isu yang timbul dan tidak menerima bulat-bulat pandangan pembangkang.

Sebagai intelek, mereka seharusnya mampu membuat penilaian dengan baik terhadap apa juga isu dan pandangan yang dimainkan sesetengah pihak.

Lebih 100 graduan hadir pada majlis itu yang turut dihadiri Setiausaha Agung USBO, Datuk Haji Salsidu Haji Ibrahim. Majlis itu diadakan sempena kemasukan keahlian graduan berkenaan ke dalam USBO.

Donny/cov/Ann                                                                                   ~mfja~