Daily Archives: 9 April 2013

9/4/13: Gempa Bumi Lemah Dilaporkan Di Ranau

Gempa bumi lemah berukuran 3.2 skala Ricther, dilaporkan berlaku di Ranau, kira-kira pukul 11.27 pagi tadi.
Menurut Ketua Penyelidik, Pusat Sains Lingkudau (PUSKAL) Mustapha Nasir, gegaran selama 9 saat yang berlaku pada kedudukan 5.8 Utara dan 116.7 Timur berdekatan Kampung Matupung itu hanya dirasai oleh pelajar SMK Matupang, penduduk Kampung Nunuk Ragang dan Kampung Sagindai.
Beliau berkata demikian kepada Pemberita RTM di Kampung Matupung, Ranau.
Mustapha berkata, kejadian itu menyebabkan tenaga pengajar dan pelajar di SMK Matupang panik dan melarikan diri untuk mencari perlindungan.
Bagaimanapun, tiada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa dilaporkan.

~Maria (Farizie/Cov)

[mdre]

9/4/13: Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Diperluas Ke Sabah

Pewujudan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP), satu program strategi lautan biru kebangsaan antara Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Penjara untuk memulihkan banduan akan diperluaskan ke negeri ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk tujuan itu sebuah PPP akan dibina di Kota Belud, antara lima PPP baharu yang akan dibina di negara ini.
Sejak program itu dimulakan dua tahun lepas, lima PPP diwujudkan di lima Kem Tentera Darat di Kelantan, Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang.
Bercakap pada sidang akhbar selepas melawat Penjara Sandakan, Datuk Zahid berkata, kapasiti di lima pusat itu seribu 200 Orang Dalam Seliaan (O-D-S) tetapi jumlah yang menjalani proses pemulihan ialah 3 ribu orang.
Jelasnya, PPP bagi memulihkan banduan dan menjadi anggota masyarakat serta mengelak mereka kembali melakukan jenayah, masuk semula ke penjara atau ke pusat pemulihan.
ODS yang layak menyertai program itu adalah warganegara Malaysia dan mempunyai baki tahanan kurang dari tiga tahun.
Sepanjang proses pemulihan, ODS akan dilatih menjalankan aktiviti ekonomi, termasuk memelihara ikan air tawar dan hasilnya dijual secara langsung oleh Rangkaian Kedai Peruncitan Tabung Lembaga Angkatan Tentera (Pernama).
Hasil pendapatan akan dibahagi antara Pernama dan ODS. Apabila keluar dari PPP, ODS telah mempunyai simpanan dan boleh digunakan untuk memulakan kehidupan baharu.
~Maria (Amran/Cov)

[mdre]

9/4/13: RTM Sabah Terbit Dan Naik Taraf Pelbagai Rancangan Berkualiti Di Saluran TVi (180)

Pelbagai program menarik yang mengisi saluran TV interaktif atau TVi kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendapat sambutan amat menggalakkan sejak dilancarkan dua tahun lepas.
Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Abdul Jalani Mahmud berkata, pengisian program yang menonjolkan kepelbagaian etnik, gaya hidup, seni dan budaya di saluran televisyen interaktif untuk Sabah dan Sarawak menerusi Astro 1-8-0 itu berjaya memukau penonton, termasuk dari Semenanjung.
TVi membuka ruang siaran khas untuk golongan remaja menikmati aneka rancangan dengan citarasa generasi muda termasuk mencungkil bakat remaja dalam bidang pengacaraan.
Beliau memberitahu sidang media sempena ulang tahun ke-2 TVi di Kompleks Bersepadu, KPKK, di Kepayan, Kota Kinabalu.
Abdul Jalani berkata, RTM Sabah menerbitkan beberapa rancangan yang kini menjadi tontonan setia peminat seperti rancangan hiburan dan program bual bicara antaranya, Kami Bah Ini, Sioknya Bayu, Kihoi, i-Bagus Bah dan berita i-Kadazan serta i-Dusun.
Sempena ulang tahun kedua TVi, RTM Sabah akan menerbitkan dua lagi rancangan baharu berkonsep hiburan iaitu Nah Apa Kau Lagu dan Pentas Ekspresi.
RTM Sabah juga berazam untuk terus menerbit dan menaik taraf pelbagai rancangan yang berkualiti menerusi olahan yang menarik, kreatif dan berinovasi.
Saluran TVi yang dihasilkan daripada kerjasama RTM dan Astro dilancarkan pada April 2011 oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

~Maria (Juliana/Cov)

[mdre]

9/4/13: BN Dijangka Letak Ramai Calon Wanita Pada PRU-13

Barisan Nasional dijangka meletakkan lebih ramai calon wanita di Sabah pada pilihan raya umum ke-13 ini, selaras dengan dasar parti untuk meningkatkan penyertaan kaum hawa dalam politik.
Menurut sumber, antara calon yang dikatakan telah disenarai pendek ialah Ketua Wanita UMNO Negeri, Datuk Armani Mahiruddin, Ketua Wanita MCA Negeri, Datuk Agnes Shim, tokoh guru Datuk Mary Yap Kain Ching, Jornah Mozihim dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Ketua Wanita UMNO Semporna, Manis Muka Dara, Ketua Wanita UMNO Silam, Saleha Abdul Wahid dan Ketua Puteri UMNO Kalabakan, Noraini Abdul Ghapur.
Pada PRU 2008, BN meletakkan enam calon wanita termasuk dua bagi kerusi Parlimen iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Datuk Chua Soon Bui, yang masing-masing bertanding di Papar dan Tawau.
Empat calon yang bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) ialah Datuk Melanie Chia, Datuk Jainab Ahmad Ayid, Datuk Hamisa Samat dan Anita Baranting. Bagaimanapun, Datuk Chua Soon Bui dan Datuk Melanie Chia bersama pemimpin SAPP bertindak keluar daripada BN pada September 2008.
Pada 2010, BN meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin daripada PBS untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan menang majoriti 6 ribu 359 undi.
~Maria (Maria/Brna)

[mdre]

9/4/13: SESB Aktifkan Operasi Bilik Gerakan Pantau Bekalan Elektrik Sepanjang PRU-13

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bersedia mengaktifkan operasi Bilik Gerakan Ibu Pejabat bagi memantau kedudukan bekalan elektrik di seluruh negeri dan Labuan sepanjang proses pilihan raya ke-13 (PRU13).
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Insinyur (Ir) Ahmad Fuad Md Kasim berkata, bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam setiap hari dan 3 pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir mengikut syif.
Beliau ditemui Pemberita RTM di Bilik Gerakan Ibu Pejabat SESB, Kota Kinabalu.
Ir Ahmad Fuad berkata, SESB akan memberi tumpuan lebih di tempat atau pusat-pusat penamaan calon, pengiraan undi, penjumlahan undi dan kawasan terlibat bagi menjamin kelancaran proses berkenaan.
SESB memberi jaminan, tindakan pantas akan diambil sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan terlibat.
Dalam pada itu, Ir Ahmad Fuad meminta kerjasama semua parti politik agar tidak memasang bahan kempen berhampiran pepasangan elektrik atau pada tiang-tiang elektrik sedia-ada.
Pemasangan bendera, banner, poster dan sepanduk itu jika ditiup angin akan menyentuh talian elektrik dan ini boleh mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan sekitar.
Keadaan tersebut juga boleh mendatangkan kecederaan atau maut kepada pelaku dan orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
Atas faktor keselamatan, SESB akan menanggalkan mana-mana bahan kempen yang dipasang atau berada terlalu hampir dengan pepasangan elektrik SESB.

~Maria (Rita/Cov)

[mdre]

9/4/13: Kebajikan Golongan Pendidik Dijaga Baik Demi Pembangunan Bidang Pendidikan Negara

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak begitu fokus membangunkan bidang pendidikan dan menjaga kebajikan para pendidik sehingga para pensyarah dan guru merupakan antara golongan yang paling terasa sentuhan kasih sayang kerajaan.
Menurut tokoh akademik disegani di Sabah, Datuk Mary Yap Kain Ching, kebajikan pendidik dijaga baik dengan pemberian pelbagai insentif seperti pembangunan profesionalisme secara berterusan dan elaun kritikal untuk guru teknik vokasional serta guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk memotivasi mereka.
Selain itu, warga pendidik juga mempunyai peluang baik naik pangkat hingga ke tahap tinggi tanpa perlu meninggalkan sekolah samada dihantar bertugas ke pejabat pelajaran atau ke kementerian berdasarkan konsep ‘naik pangkat tanpa berpindah’.
Beliau berkata demikian di Tawau.
Menurut Mary Yap, insentif kenaikan pangkat melalui konsep itu tidak terhad kepada para pengetua sahaja, malah turut dinikmati guru-guru lain melalui pengenalan ‘guru cemerlang’ di samping kenaikan pangkat menurut kaedah ‘time-based’.
Kelebihan itu menunjukkan satu justifikasi jelas bahawa BN bersikap penyayang dan menjaga kebajikan warga pendidik.
Beliau yang juga bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Teknik Tawau, menyifatkan kerajaan BN sebagai kerajaan penyayang kepada semua rakyat dan memberi perhatian berat terhadap keperluan dan kepentingan pendidikan secara merata, termasuk sekolah mubaligh dan sekolah jenis kebangsaan.

Maria (Maria/Brna)

[mdre]

9/4/13: Kerajaan Negeri Terima Bayaran Zakat Perniagaan Bernilai RM 848,899.59 Daripada Lembaga Tabung Haji Sabah

Kerajaan negeri hari ini menerima bayaran zakat perniagaan bernilai 848 ribu 899 ringgit 59 sen daripada Lembaga Tabung Haji (TH) Sabah, bagi tahun kewangan 2012.
Cek disampaikan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH negeri, Haji Abdul Halim Md. Jamil kepada Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Haji Suhaili Said.
Majlis yang berlangsung di Istana Negeri Kota Kinabalu itu, disaksikan Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin bagi pihak Pusat Zakat Sabah dan Setiausaha MUIS, Datuk Haji Amri Suratman.
Ketika ditemui media, Haji Abdul Halim berkata, jumlah zakat perniagaan TH untuk negeri Sabah meningkat 9 peratus pada tahun lepas berbanding 781 ribu 521 ringgit bagi tahun 2011.
Sabah negeri kedua menerima bayaran zakat TH selepas Sarawak dan diikuti negeri-negeri lain di seluruh negara.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa.
Terdahulu, Yang dipertua Negeri turut menerima kunjungan daripada Ahli Jawatankuasa Lions Club Kota Kinabalu, yang diketuai Presidennya, Frak Leong Shin Heng.

~Maria (Sahira/Cov)

[mdre]