01/06/2013: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menitahkan semua pihak, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, menyokong usaha baik pulih persefahaman kebangsaan…

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menitahkan semua pihak, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membaik pulih semula persefahaman kebangsaan.

Dalam titah itu, Seri Paduka mahu agar prinsip-prinsip seperti demokrasi berparlimen yang sihat dan matang, Raja Berpelembagaan sebagai teras kestabilan nasional, menghormati falsafah Persekutuan, meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memuliakan kedaulatan undang-undang dijadikan teras panduan kepada proses itu.

Tuanku juga mahu semua pihak mengekalkan dan memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan yang sedia wujud.

Seri Paduka Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.
  

Tuanku juga turut mengingatkan sesetengah pihak yang cuba menggalakkan permusuhan dan persengketaan dalam kalangan rakyat demi kepentingan agenda sempit mereka, supaya segera menghentikan perbuatan yang tidak berperlembagaan itu.
(ends/id/bernama)

~mfja~

Tinggalkan komen