Daily Archives: 7 Oktober 2013

7/10/2013: Pembinaan Rumah Panjang Di Matunggong Akan Diteruskan

Sebanyak 25 keluarga berpindah ke rumah panjang di Matunggong yang siap dibina oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjaga kebajikan dan keperluan perumahan penduduk luar bandar.

Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata rumah panjang Kg Tinukadan adalah antara 21 rumah panjang yang diluluskan untuk dibina semula sejak empat tahun lepas di daerah kecil Matunggong.

Rumah panjang itu dibina menggantikan kediaman usang mereka sebelum ini dengan peruntukan 1.4 juta ringgit.

Datuk Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata daerah kecil itu tidak akan dipinggirkan daripada pembangunan arus perdana walaupun berada dalam kawasan pembangkang.

~AN/AN/BRN

~mdre

7/10/2013: Pendidikan Muzik Turut Berperanan Sebagai Wadah Perpaduan

Pendidikan muzik merupakan wadah terbaik memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya belia kerana muzik mampu menyatukan jiwa dan perasaan untuk saling menghargai tanpa mengira latar belakang keturunan.

Justeru, Menteri Belia dan Sukan Datuk Haji Tawfiq Haji Abu Bakar Titingan berharap lebih ramai belia di negeri ini mendalami bidang muzik sekaligus melahirkan modal insan berbakat dan berkemahiran tinggi dalam muzik.

Bagi merealisasikan usaha ini, Kementerian Belia dan Sukan memberi sokongan padu kepada Malaysia Training College dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk menggalakkan lebih ramai belia yang dinamik, produktif dan berpandangan jauh ke hadapan menerusi pelbagai program serantau berkaitan muzik.

Demikian ucapan perasmiannya sempena Penutupan Borneo International Guitar Fiesta, Sabah Musical-Theatre Society di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kota Kinabalu. Teks ucapan dibacakan Setiausaha Tetap Kementeriannya Datuk Suzanah Liaw.

Fiesta tersebut diserikan dengan persembahan petikan gitar pemuzik profesional dari Malaysia, Filipina, Jepun dan Australia

~AN(Jane/DD/Cov)

~mdre

7/10/2013: Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS, Peringkat Negeri Sabah Berlangsung Esok

Lebih 500 kanak-kanak dari Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah akan menyertai Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA KEMAS Peringkat Negeri Sabah di Kompleks Sukan Likas bermula 8 pagi hingga 5 petang ESOK.

Kanak-kanak berumur antara 5 hingga 6 tahun yang mewakili 6 zon dari seluruh Sabah akan bertanding dalam 4 acara sukan iaitu Futsal, Bola Jaring, Silat dan Gerak Rama.

Para pemenang akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Universiti Teknologi MARA Kedah November depan.

Penolong Pengarah Operasi Satu KEMAS Sabah, Faisal Long berkata demikian kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu dalam Segmen Ekspresi Sabah FM di Kota Kinabalu.

Beliau berharap ibu bapa serta masyarakat setempat datang beramai-ramai untuk memeriahkan acara tersebut di samping memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak serta warga TABIKA KEMAS.

Tahun lalu Sabah muncul naib johan dalam Hari Potensi Kanak-Kanak TABIKA KEMAS Peringkat Kebangsaan di Terengganu.

~AN/Ends/Farah/MdSha/cov

~mdre

7/10/2013: Kementerian Kesihatan Malaysia Bakal Perkenal Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah Dalam Aktiviti Kokurikulum Dan Pasukan Beruniform Di Semua Institut Latihan KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan modul pembangunan Kemahiran Insaniah dalam aktiviti kokurikulum dan pasukan beruniform di semua 33-Institut Latihan KKM seluruh negara.

Dalam kenyataan media kementerian berkenaan di Kota Kinabalu, pewujudan modul berkenaan penting bagi mencungkil potensi individu secara menyeluruh di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mereka.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan modul berkenaan, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Malaysia (JPAM) bagi menyediakan platform utama pelaksaan modul berkenaan.

Pemilihan JPAM bagi pelaksanaan modul berkenaan adalah selaras dengan peranan jabatan itu yang sentiasa mendokong transformasi negara dalam memastikan keselamatan negara daripada ancaman bencana di samping memberi perkhidmatan kecemasan secara efisyen.

~AN(sahira/cov)

~mdre

7/10/2013: Seramai 2,071 Graduan Menerima Sijil Dan Diploma Dalam Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Zon Sabah Dan Sarawak

Seramai 2-ribu 71-graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) Zon Sabah dan Sarawak menerima sijil dan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Institut berkenaan di Dewan Cancelor UMS Kota Kinabalu.

Upacara penyampaian sijil dan diploma disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Helmi Yahaya.

Berucap merasmikan majlis berkenaan, Dato’ Seri Dr. Helmi mahu setiap graduan mengamalkan budaya kreativiti dan inovasi, kepantasan bertindak dan membuat keputusan, integriti dan kerja berpasukan dalam pekerjaan.

Langkah itu penting bagi menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik kepada golongan memerlukan.

Konvokesyen melibatkan tujuh buah ILKMM Zon Sabah dan Sarawak ini akan berakhir esok.

~ AN(sahira/cov)

~mdre

7/10/2013: Wahab Ambo Rappe, Dianugerahkan Graduan Terbaik Di Majlis Konvokesyen Ke-8 Institut Kemahiran Mara Kota KInabalu 2013

Berkat usaha gigih dan dorongan ibu bapa, Wahab Ambo Rappe, 24 tahun dianugerahkan graduan terbaik keseluruhan sempena Majlis konvokesyen Ke-8 Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu 2013.

Anak ke-5 dari 8 orang adik-beradik ini juga layak menerima anugerah platinum berikutan kecemerlangannya menerima anugerah dekan 4-kali sepanjang pengajiannya di IKM sejak 2009 dalam Program Sijil Teknologi Elektrik Kuasa.

Wahab yang berjaya meraih Gred Purata Keseluruhan 3.61, memberitahu beliau akan melanjutkan pengajian di IKM Johor Bahru.

Majlis konvokesyen tersebut menyaksikan seramai 550 orang graduan menerima sijil masing-masing dalam enam program sijil yang telah ditawarkan.

~AN/ENDS/OLI/COV

~mdre