31/10/2013: Kegagalan membayar bil pembentungan jejaskan perkhidmatan…

Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan diminta lebih prihatin terhadap pembayaran bil pembentungan mereka kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan perkhidmatan yang disediakan Indah Water Konsortium (I-W-K).

Ketua Jabatan Komunikasi IWK, Azzatulina Pak Wan Chek berkata, hanya sebilangan kecil pengguna menjelaskan bayaran mereka sedangkan IWK memerlukan belanja yang tinggi untuk menyelenggara sistem pembentungan.

Tanpa penyelenggaraan yang baik akan menjejaskan alam sekitar serta sumber air, sekaligus mengancam kesihatan orang awam.

Beliau berkata demikian dalam taklimat kepada media di Labuan.

Menurut Azzatulina, kadar yang dikenakan IWK juga rendah iaitu hanya 6 ringgit sebulan bagi satu tangki septik, manakala kediaman yang mempunyai sistem terus ke loji kumbahan pula dikenakan kadar 8 ringgit sebulan.

Syarikat berkenaan harus memastikan saluran paip pembentungan bawah tanah bebas daripada tersumbat disebabkan sampah, gris mengeras dan sisa pepejal. Bagaimanapun, keengganan pengguna menjelaskan bil menyukarkan syarikat tersebut memberi perkhidmatan efisien kerana semua perkhidmatan memerlukan kos.

IWK bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan loji rawatan kumbahan yang harus beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

Maria (Maria/Brna)

~mfja~

Tinggalkan komen