Monthly Archives: November 2013

30/11/2013: Kerajaan Giat Laksana Usaha Tingkat Keselamatan Negara

Kerajaan sedang giat menjalankan usaha pembangunan berkaitan
keselamatan sempadan samada di laut mahupun darat bagi mengelak
diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Datuk Musa AmanKetua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, usaha itu
meliputi penstrukturan semula perkampungan baharu dan penempatan
pasukan keselamatan di darat dan laut.

Beliau berucap demikian pada seminar Keselamatan dan Ketenteraman
Awam (SEKAM) 2013 di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS),
Kota Kinabalu.

Datuk Musa berkata, turut dilaksanakan beberapa program pendedahan
tentang keselamatan awam dan kesannya kepada negara. Ia bagi
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat untuk menjaga
keselamatan.

Dalam konteks keselamatan di Pantai Timur Sabah, masyarakat turut
digesa memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak
berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan.

Di pihak UMS, universiti berkenaan boleh berperanan dengan melakukan
penyelidikan berhubung sempadan serta mengemuka saranan bernas kepada
pihak berkuasa agar keselamatan di kawasan terdedah ancaman dapat
ditingkatkan.

~Maria (Sahira/Cov)

Advertisements

30/11/2015: Warga Emas Wajib Daftarkan Diri Di Klinik Kesihatan Bermula 2015

Bermula 2015, warga emas diwajib mendaftarkan diri di Klinik
Kesihatan berhampiran bagi tujuan pemantauan dan pemeriksaan
kesihatan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata,
langkah tersebut penting untuk mengesan awal dan mencegah penyakit
dalam golongan berkenaan.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulangtahun Warga Emas Klinik
Kesihatan Patau kali ke-13 di Mini Dewan Masyarakat Kampung Patau,
Tambunan.

Datuk Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata,
bidang perubatan mengenalpasti 5 masalah yang sering dihadapi golongan
tersebut. Antaranya, ‘geriatic giants’ berkait rapat dengan penuaan,
tidak dapat mengawal pembuangan air besar dan kecil, jangkitan kuman
dan nyanyuk.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan garis
panduan amalan klinikal untuk melatih anggota paramedik bagi
mengendalikan warga emas yang berisiko jatuh, inkontinen dan
mengendalikan warga emas terlantar.

Terdahulu, Pengerusi Penganjur sambutan, Dr. Evlyn Sungip berkata,
program tersebut bagi menggalakkan warga emas menjalani pemeriksaan
kesihatan agar dapat menghayati usia emas yang sihat, aktif dan
produktif.

~Maria (Loy-Keningau/Cov)

~mdre

30/11/2013: Polis Buru 10 Lagi Individu Bagi Membantu Siasatan Kes Bunuh Pegawai JAIP

Polis masih memburu 10 individu lagi bagi membantu siasatan kes
pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)
baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis percaya
siasatan ke atas kes tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya dengan
penangkapan 10 pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ yang disyaki
terlibat dengan pembunuhan pegawai JAIP itu.

Beliau ditemui media selepas seminar Keselamatan dan Ketenteraman
Awam di Kota Kinabalu. Seminar tersebut dirasmikan Ketua Menteri,
Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Malam tadi, Tan Sri Khalid menerusi akaun Twitternya memaklumkan
bahawa polis berjaya merungkai kes pembunuhan itu dengan penangkapan
13 pengikut kumpulan ajaran sesat terbabit dan merampas pistol yang
dipercayai ada kaitan dengan kes terbabit.

Pada 20 November lepas, ketua kumpulan ajaran sesat, Harun Mat Saat,
47 tahun berjaya diberkas bersama-sama seorang wanita dalam serbuan di
sebuah rumah di Tangkak, Muar, Johor.

Harun dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Ketua Penguatkuasa JAIP, Mohd Raffli Abdul Malik, 49 tahun, yang ditembak mati di rumahnya di Kuantan, Pahang pada 10 November.

~Maria (Sahira/Cov)

~mdre

30/11/2013: Usaha Bersepadu Dilaksana Berterusan Bagi Melonjak Prestasi Pendidikan Negeri Sabah

Kerajaan akan terus melaksanakan usaha bersepadu bagi melonjakkan
prestasi pendidikan di negeri secara berterusan.

Biarpun berhadapan cabaran keadaan geografi, kepelbagaian suku kaum
serta taburan sekolah yang banyak di luar bandar yang memungkinkan
prestasi pendidikan mencabar berbanding negeri-negeri lain di negara
ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata,
kekangan tersebut tidak melemahkan usaha meningkatkan pencapaian
pendidikan di Sabah.

Malah, katanya, kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar kepada
sektor pendidikan meliputi prasarana, penyediaan peralatan sekolah dan
memajukan pendidikan luar bandar.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Konvensyen Kecemerlangan
Akademik Tahun 2013 Peringkat Antarabangsa Jabatan Pendidikan Sabah di
Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri, Kota
Kinabalu.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam
Sekitar, Datuk Masidi Manjun.

Dalam meningkatkan kualiti guru dan prestasi pendidikan negeri, Datuk
Musa juga menggesa warga pendidikan supaya lebih proaktif, kreatif dan
inovatif serta menjana idea-idea baharu dalam tugas mereka.

Beliau turut melahirkan rasa puashati dengan komitmen tinggi para
guru yang berkhidmat di pelusuk negeri ini.

Seramai 790 guru menyertai konvesyen tersebut yang turut dihadiri
penceramah dari Singapura dan Brunei Darussalam.

~Maria (Ritah/Cov)

~mdre

30/11/13: Pelabuhan Kudat Bakal Dinaiktaraf Sebagai Inisiatif Merancakkan Ekonomi BIMP EAGA

Kerajaan meluluskan peruntukan 20 juta ringgit bagi menaiktaraf
Pelabuhan Kudat sebagai inisiatif merancakkan ekonomi Kawasan
Pertumbuhan Ekonomi Asia Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia dan
Filipina (B-I-M-P EAGA).

Kerja naiktaraf pelabuhan berkenaan dijangka dimulakan tahun depan.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang berkata, usaha tersebut
bukti komitmen tinggi kerajaan merealisasikan hala tuju dan matlamat
BIMP EAGA sebagai rantau perniagaan dan perdagangan kondusif serta
berdaya saing.

Beliau ditemui media dalam jamuan bersama 63 delegasi BIMP EAGA dari
Palawan, Filipina di Kota Kinabalu.

Pelabuhan Kudat itu akan dilengkapi Kompleks Kastam, Imigresen dan
Kuarantin (C-I-Q).

Menurut Datuk Teo, pembinaan pelabuhan sepadu tersebut bakal merintis
era baharu dalam kerjasama ekonomi dan hubungan diplomatik bukan hanya
antara Malaysia dan Filipina, malah dimanfaat bersama negara anggota
BIMP EAGA.

Mengulas pengenalan laluan baharu pengangkutan laut dan udara dari
Sabah ke Palawan, Filipina, Datuk Teo yakin ia mampu merancakkan lagi
aktiviti ekonomi serantau khususnya dalam sektor pelancongan dan
perladangan kelapa sawit, seterusnya mewujudkan iklim pelaburan
positif di kedua-dua wilayah.

~Maria (Farizie/Cov)

~mdre

30/11/2013: Pemilihan Semula Berjalan Lancar

    Pemilihan semula Anggota Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Bahagian
Silam di Dewan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lahad Datu, hari
ini berjalan lancar.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan itu, Bujang Abu Bakar berkata,
proses pemilihan bermula pukul 11 pagi tadi dengan seramai seribu 240
perwakilan telah hadir melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau ditemui pemberita di Lahad Datu.
Menurut Bujang, pemilihan tersebut dipantau seramai 17 orang pemantau
dari UMNO Negeri dan dua dari UMNO Pusat.
Dalam pemilihan itu, hanya anggota jawatankuasa Pergerakan Wanita
UMNO dipertandingkan manakala pengerusi tetap dan timbalannya tidak
dipertandingkan.
Keputusan awal pemilihan dijangka diketahui seawal-awalnya pukul 10 malam ini.

~Maria                                      (Maria/Brna)

~mdre

29/11/2013: Ahli Persatuan Pengusaha Pengangkutan awam Keningau digalak kembangkan usaha menerusi sektor koperasi…

Para ahli persatuan pengusaha pengangkutan awam di daerah Keningau digesa agar mengembangkan perusahaan mereka melalui penglibatan secara aktif dalam sektor koperasi yang mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka. Teruskan membaca