Monthly Archives: Disember 2013

31/12/2013: Transformasi Dan Pembangunan Hidup, Elemen Penting Majukan Sabah

Rakyat Sabah perlu terus menumpukan usaha membangun kesejahteraan hidup serta melaksanakan transformasi ke arah mengangkat Sabah setaraf negara-negara terbaik di dunia.

       Musa Aman

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dalam perutusannya sempena tahun baharu 2014 mahu semua pihak memantapkan lagi hubungan kerjasama demi menjamin kesinambungan kesejahteraan negeri ini yang merangkumi pelbagai aspek.

        Jelasnya, melalui pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Ekonomi dan Koridor Pembangunan Sabah umpamanya, ia telah memberi impak ketara terhadap kemajuan sektor ekonomi di negeri ini khususnya dalam industri minyak dan gas, perladangan dan pelancongan. Ia sekaligus membawa Sabah mencapai peningkatan ekonomi yang jitu dan mapan.

        Tegasnya, bagi meningkatkan lagi pertumbuhan pelbagai sektor pada masa hadapan, ia memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk golongan pakar agar menceburi bidang hiliran komoditi mentah serta mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dalam negara.

        Beliau berharap pada tahun 2014, lebih banyak pencapaian dan kemajuan Sabah akan dicapai sekaligus meletakkan Sabah antara negeri terbaik pencapaiannya.

~sjk/stat/Any

~mdre

31/12/2013: Pengumuman 11 Langkah Penjimatan Sektor Awam, Tepat

Pengumuman 11 langkah penjimatan sektor awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merupakan langkah tepat dalam merealisasikan perbelanjaan berhemah tahun depan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, melalui penjimatan itu, pelbagai usaha boleh dilakukan bagi menambahbaik kebajikan rakyat khususnya dalam meningkatkan kemudahan dan pembangunan luar bandar.

Ia sekaligus dapat meringankan beban rakyat yang terjejas akibat inflasi.

Tambahnya, langkah penjimatan itu juga perlu dilakukan ke atas pelaksanaan projek berskala besar bagi menambahbaik tatacara pengurusan projek agar defisit negara dapat dikurangkan ke tahap lebih munasabah.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

~Rahim/email/Any

~mdre

31/12/2013: ANGKASA Agih Zakat Perniagaan

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengagihkan lebih sejuta ringgit zakat perniagaannya bagi tahun 2012 kepada golongan asnaf yang terpilih di seluruh negara.

Menurut Naib Presidennya, Profesor Madya Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, 70 peratus daripada jumlah tersebut diagihkan mengikut negeri dan 30 peratus diagihkan kepada beberapa pusat asnaf yang terpilih termasuk Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Koperasi Kariah Masjid serta lain-lain.

Untuk negeri Sabah, ANGKASA telah menyerahkan zakat sebanyak 15 ribu 531 ringgit 60 sen kepada Persatuan Pengurusan Anak Yatim Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan.

Beliau ditemui RTM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kota Kinabalu.

ANGKASA adalah merupakan institusi yang memayungi semua koperasi di seluruh negara dan sehingga kini dianggotai 10 ribu 800 orang ahli.

~max/ag/cov/Any

~mdre

31/12/2013: Anggota K1M Diminta Bantu Sebarluas Maklumat Mengenai GST

Anggota Komuniti 1Malaysia (K1M) Sabah diminta membantu kerajaan
menyebarluas maklumat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
yang bakal dilaksanakan 1 April 2015.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri Haji Almain Ajirul berkata,
anggota K1M juga perlu memainkan peranan dalam menyampaikan
dasar-dasar kerajaan disamping maklumat lain kepada komuniti agar
mereka faham dan jelas tentang agenda kerajaan.

Mereka juga perlu sentiasa bersiap sedia dengan melengkapkan ilmu
pengetahuan dan informasi agar sentiasa menjadi sumber rujukan yang
dipercayai.

Haji Almain berkata demikian pada Majlis Malam Mesra K1M Daerah
Putatan Bersama Pengarah Jabatan Penerangan Sabah di Putatan.

Katanya, penglibatan anggota K1M itu diharap dapat memberi pemahaman
yang jelas mengenai dasar-dasar kerajaan khususnya mengenai cukai GST
yang menjadi bualan hangat ketika ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyambut baik dan bersetuju untuk
membantu merealisasikan cadangan K1M Sabah mengadakan lawatan sambil
belajar ke Brunei
Darussalam pada tahun hadapan.

~Bernama/Any

~mdre

31/12/2013: Bantahan Perhimpunan Haram Guling Kerajaan

Bantahan berterusan disuarakan pelbagai pihak berhubung penganjuran
perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan.

Justeru, tiga lagi laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah
Kinabatangan bagi membantah penganjurannya.

Laporan polis itu dibuat Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO
Kinabatangan serta Pergerakan Pemuda UPKO Kinabatangan iaitu, Aksyah
Nasrah, Hajah Aminah Haji Johan dan Mohd. Ismail Haji Ayub.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan, Aksyah Nasrah ketika
ditemui pemberita RTM berkata, adalah tidak wajar negara yang aman
diporak perandakan ekoran ketidakpuasan hati yang tidak bertujuan dan
ia merupakan tidak bertanggungjawab kerana cuba menganggu gugat
keharmonian dan keamanan negara.

Beliau memohon agar pihak polis mengambil tindakan tegas dan
mengenakan hukuman setimpal terhadap individu atau kumpulan yang
disifatkan sebagai pengkhianat negara yang terlibat dalam perhimpunan
haram tersebut.

Selain di Kinabatangan, laporan sama turut dibuat Exco Puteri Umno
Malaysia, Julie Sabran di Ibu Pejabat Polis Beluran dan Ketua Pemimpin
Kemajuan Masyarakat N.41 Gum-Gum, Kamal M. Said di IPD Sandakan.

~dman/nizam/COV/beta/Any

~mdre

31/12/2013: Golongan Wanita Perlu Manfaat Peluang Kemudahan Disediakan

Golongan wanita digesa merebut peluang kemudahan yang disediakan
selain mengubah cara hidup lebih sempurna.

Pengerusi PUSPANITA Daerah Tenom, Salbinah Chua berkata, berbanding
situasi dahulu, kerajaan kini lebih banyak menumpukan aspek
pembangunan masyarakat di luar bandar. Justeru, golongan wanita
seharusnya mengambil peluang itu untuk meneraju program-program yang
dianjurkan.

Sebagai isteri dan ibu dalam menjaga keluarga di rumah, peranan
wanita sebenarnya lebih luas kerana perlu membantu suami mencari
nafkah selain membantu komuniti untuk berkembang maju.

Beliau berucap merasmikan Kursus Memasak, Menghasilkan Kek dan Ising
anjuran Pertubuhan Ekonomi Bumiputera Sabah (PERKEBS) di Dewan Sri
Antanom di Tenom.

Salbinah turut menyeru kepada wanita agar terus komited dengan
kemahiran yang dipelajari khususnya dalam aspek masakan bagi
mengkomersilkan kemahiran masing-masing.

~RB/Cov/Any

~mdre

31/12/2013: Sokong Usaha Penggiat Seni Tempatan

Lebih ramai pemuzik mahupun penyanyi tempatan diberi peluang
mengadakan persembahan di pusat-pusat hiburan di negara ini bagi
merancakkan lagi industri pelancongan negara ke arah menjayakan tahun
melawat Malaysia 2014.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun
berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pengiat seni
tempatan dalam mentranformasikan industri muzik mereka agar dapat
diperkenalkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau ditemui wartawan RTM sempena Konsert K.K Festival String 2013
di Balai Seni Lukis Sabah.

Konsert String yang dijayakan kumpulan Romer String Quartet dari
Hongkong mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat negeri ini.

K.K FESTIVAL STRING 2013 yang bermula Ahad lalu akan berakhir hari ini.

~sjk/tam/Cov/Any

~mdre