Daily Archives: 1 Disember 2013

1/12/2013:773 Perwakilan UMNO Sabah Menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Di Ibu Negara Bermula Esok

Seramai 773 perwakilan UMNO Sabah akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung di ibu negara bermula ESOK hingga 7 Disember INI

Musa AmanPengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berharap perhimpunan kali ini dapat dijadikan medan untuk mengatur strategi memantapkan kedudukan UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional (BN) dan memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya seterusnya.

Dalam sidang media di Kota Kinabalu, beliau berharap semua perwakilan menilai sejauh mana transformasi politik yang diperkenalkan oleh Presiden Parti berjaya dilaksanakan dan mengetahui hala tuju parti dan kerajaan untuk masa akan datang.

Dalam pada itu mengulas mengenai tindakan 11 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti dan menyokong BN, Datuk Musa berkata ia satu perkembangan yang baik bagi politik di Sabah.

Selasa lepas 11 cabang berkenaan mengambil keputusan keluar parti dan menyokong BN. Mereka terdiri daripada Ketua Cabang, Timbalan Ketua Cabang dan Ketua Penerangan Cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.

~busri an/ay/cov

~mdre

1/12/2013: Anggota Perkhidmatan Awam Diingat Supaya Tingkat Sistem Penyampaian

Anggota Perkhidmatan Awam di negeri ini diingatkan supaya meningkatkan sistem penyampaian agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekaligus menyumbang kearah kemajuan dan pembangunan negeri.

Hussin2Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin berkata, berfikiran kreatif dan inovatif dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat amat perlu supaya penjawat awam sentiasa relevan dalam menghadapi cabaran arus perdana.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Putatan 2013 di Masjid Putatan.

Datuk Yahya yang juga wakil rakyat Petagas turut mengingatkan rakyat agar melakukan perubahan terhadap diri, keluarga dan masyarakat menurut konsep Maal Hijrah khususnya dalam aspek perpaduan dan ukhuwah agar dapat menjaga keharmonian negeri.

Pada majlis tersebut pelbagai program turut diadakan antaranya derma darah dan majlis berkhatan disertai lebih 50 orang kanak-kanak.

~busri Mun/Sjk/DD/cov

~mdre

1/12/2013: Peningkatan Penghidap Penyakit Diabetes Di Negara Ini Membimbangkan

Peningkatan jumlah penghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes di negara ini amat membimbangkan.

Menurut Wakil Rakyat Bongawan, Mohamad Alamin, berdasarkan Kaji Selidik Kesihatan Dan Morbiditi Nasional (NHMS) sehingga kini, seramai 2.6-juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat di samping melakukan senaman bagi menjamin kehidupan lebih baik.

Mohamad berucap merasmikan Transformasi Gaya Hidup Sihat anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Dewan Serbaguna Kampung Langkawit, Papar. Teks beliau dibacakan Pemimpin Kemajuan Rakyat Bongawan, Haji Mohd. Sidin Haji Ibrahim.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program tersebut, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma dan kempen derma darah.

~busri (sahira/cov)

~mdre

1/12/2013: Pengenalan Feri RORO Mampu Pacu Pembangunan Ekonomi BIMP EAGA

Pengenalan Feri ‘Roll On Roll Off’ atau RORO mampu memacu pembangunan ekonomi khususnya melibatkan negara anggota dalam Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

Ketika ditemui media di ibu negeri, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang memberitahu, selain memacu pembangunan ekonomi, perkhidmatan RORO diyakini mampu meningkatkan hubungan diplomatik antara Sabah dan Wilayah Palawan, Filipina melalui Pelabuhan Kudat, Sabah dengan Brooke’s Point, Palawan Filipina.

Menurut beliau, ia sekaligus merealisasikan objektif serta hala tuju BIMP-EAGA dalam merapatkan jurang antara negara anggota menerusi kerjasama ekonomi, perniagaan, pelaburan dan perdagangan melalui jalan laut.

Selain itu, inisiatif Maswings memperkenalkan laluan udara baharu yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan Puerto Princesa di Palawan, Filipina pada 22 November lalu merupakan detik bermakna dalam sejarah penerbangan di kedua-dua wilayah.

Maswings kini merupakan syarikat penerbangan antarabangsa berjadual pertama yang menjalinkan perhubungan udara dengan Palawan, Filipina.

~busri Farizie/FA/Cov

~mdre

1/12/2013: Mizma Kekal Jawatan Sebagai Ketua Wanita UMNO Silam

Mizma Appehdullah bekas Ketua Puteri UMNO Silam mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita Bahagian itu selepas menewaskan sekali lagi Hajjah Saleha Abd. Wahid dalam pemilihan semula Jawatankuasa UMNO Silam yang diadakan di Bangunan MPOB Lahad Datu KELMARIN.

Mizma dalam kenyataan yang dihantar kepada media menyeru agar semua wanita kembali bersatu memperkuatkan perjuangan parti dan berusaha meningkatkan pencapaian golongan hawa khususnya di kawasan Silam dalam bidang ekonomi.

Sementara itu, Pemilihan kali ke 3 Pergerakan Wanita UMNO Kalabakan kelmarin, turut menyaksikan kemenangan berpihak sekali lagi kepada Hajjah Cahya Sulaiman. Beliau menewaskan bekas Ketua pergerakan wanita bahagian itu Datuk Hajjah Hamisa Samad dengan 75 undi.

Hajjah Chaya yang dihubungi pemberita RTM berkata, kemenangan itu adalah kemenangan semua wanita, dan merayu agar kemelut yang berlanjutan bagi pemilihan jawatankuasa wanita UMNO Kalabakan itu berakhir dengan baik.

Dalam pemilihan 12 Oktober lepas, Pergerakan Wanita UMNO Silam dan Kalabakan dibatalkan susulan tindakan beberapa pihak yang tidak berpuas hati merayu kepada UMNO Pusat agar pemilihan diadakan semula.

~MASNIAH/-FA

~mdre

1/12/2013: Badan Bukan Kerajaan Main Peranan Bantu Tingkat Kesedaran ICT

Badan bukan kerajaan (NGO) terus memainkan peranan membantu kerajaan dalam meningkatkan kesedaran kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada rakyat di negeri ini.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Komputer Sabah, Kon Yuk Thiam, berkata penganjuran Pesta Komputer Sabah 2013 menerusi gabungan kerjasama Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, merupakan antara landasan penting ke arah pencapaian kemahiran ICT rakyat khususnya golongan muda dan tidak berasaskan keuntungan semata-mata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM dalam satu temubual khas sempena Pesta Komputer Sabah 2013 di One Borneo, Kota Kinabalu.

Dalam perkembangan sama Kon turut berhasrat menarik lebih banyak lagi syarikat besar pengeluar barangan berasaskan ICT, sekali gus menjadikan Pesta Komputer Sabah sebagai pusat pameran memperkenalkan produk inovasi terbaru ICT di Sabah pada tahun depan.

Pesta Komputer 2013 yang bermula Jumaat lalu dan berakhir HARI INI ini disertai 70 buah syarikat komputer dan syarikat Telekomunikasi.

~busri FA/DD/COV

~mdre

1/12/2013: SAFA Mengambil Tiga Pemain Import Bagi Memperkuat Skuad Sabah

Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengambil tiga pemain import iaitu dari Australia, Albania dan Bosnia bagi memperkuatkan skuad Sabah Hawk bagi mengharungi liga Malaysia tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yakin dengan kemampuan tiga pemain import berkenaan dapat memantapkan lagi prestasi pasukan Sabah.

Dalam sidang media di Kota Kinabalu beliau berkata, pemilihan pemain import yang benar-benar layak itu dapat memastikan kemerosotan prestasi pasukan Sabah sebelum ini dapat ditingkatkan.

Datu Musa berharap SAFA akan terus maju dengan sokongan semua pihak.

~busri an/ay/cov

~mdre