Lapan jalan raya di Sabah yang dilaporkan terjejas akibat gempa bumi yang melanda Ranau pada Jumaat telah dibaiki.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kerja membaiki jalan raya yang mengalami kerosakan itu dilakukan pada hari sama gempa berlaku.
Katanya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah, jalan-jalan yang terjejas adalah satu jalan raya persekutuan di Ranau dan tujuh jalan raya negeri iaitu masing-masing dua di Tuaran dan Ranau serta tiga di Kota Belud.
Beliau memberitahu pemberita demikian di Ibu negara.
Katanya, sebuah jambatan iaitu Jambatan Kihunut, Jalan Kibas Mohinboyun turut dilaporkan rosak dan pihak JKR Ranau sedang melakukan pemeriksaan mengenainya dari semasa ke semasa.
Mengenai sama ada bangunan yang terjejas akibat gempa bumi itu perlu dibaiki atau dibina baharu, Rosnah berkata, keputusannya bergantung kepada penilaian yang dilakukan oleh pakar forensik kementerian tersebut.
(Bernama/Anuar)
Sheryl