Monthly Archives: Ogos 2013

31/8/2013: Keharmonian Dan Keamanan Negara Perlu Dijaga Segenap Lapisan Masyarakat Majmuk Di Negeri Ini

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman meminta rakyat agar terus menjaga hubungan baik dan mengelak daripada membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

Demikian antara intipati perutusan khas Ketua Menteri sempena ulang tahun Kemerdekaan negara yang ke-56.

Datuk Musa menyatakan, segala isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak perlu diselesaikan sebaiknya sebagai sebuah keluarga Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.

Menurutnya, nilai-nilai positif seperti hormat menghormati dan konsep penerimaan yang ditekankan dalam konsep 1Malaysia perlu terus dibudayakan demi kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Beliau juga menekankan bahawa tidak sempurna sambutan Hari Kemerdekaan tanpa mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan para pemimpin serta pejuang kemerdekaan. Ini termasuklah khidmat bakti anggota pasukan keselamatan negara yang terlibat dalam Ops Daulat bagi mempertahankan kedaulatan negara di Kampung Tandou, Lahad Datu dan Kampung Simunul Semporna.

~Juliana (RTKA/st)

~mdre

31/8/2013:Kemeriahan Sambutan Merdeka Di Sabah Serlah Semangat Patriotisme Semua Kaum

Turut Hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan Isteri, Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin selaku Pengerusi Jawatakuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri 2013.

Ia turut dihadiri barisan kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

Sementara itu, di Tawau, seawal 7 pagi, orang ramai berkumpul di perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Tawau bagi menyaksikan perbarisan 76 kontinjen yang membabitkan 4-ribu 379 anggota keselamatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Acara diakhiri dengan bacaan doa memohon kesejahteraan, perpaduan, keselamatan serta kemakmuran berterusan rakyat dan negara ini.

~Juliana (sahira/cov)

~mdre

31/8/2013: Bayi ‘Merdeka’ Beri Kenangan Bermakna Dan Terindah

Menyambut kelahiran anak pada tarikh bersejarah, 31 Ogos sempena Hari Kemerdekaan negara, pastinya memberi kenangan yang amat bermakna dan terindah bagi setiap ibu bapa.

Ini diakui Jurutera Projek Terminal Minyak dan Gas (SOGT), Suaidah Osman yang melahirkan bayi pertama hari kemerdekaan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu.

Suaidah, 30 tahun melahirkan bayi perempuan seberat 3.3 kilogram kira-kira jam 2.10 minit pagi tadi.

Setakat jam 12 tengahari tadi, 10 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, 3 lelaki dan 7 perempuan.

~Juliana (Mun/Dd/cov)

~mdre

31/8/2013: Menang Dalam Kategori Masing-Masing Hasil Komitmen Dan Semangat Berpasukan Kontinjen Perbarisan Sempena Kemerdekaan

Jabatan Air Negeri Sabah muncul johan bagi kategori Jabatan Kerajaan pada pertandingan perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke-56 dan 50 tahun Sabah merdeka dalam Malaysia.

Sementara, Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, johan dalam kategori Jabatan Kerajaan Pakaian Seragam Rasmi.

Kumpulan Yayasan Sabah muncul johan dalam kategori Swasta, sementara Kelab 1 Malaysia Jabatan Penerangan johan dalam kategori NGO.

Manakala, S.K Saints Francis dan SMK Perempuan Likas muncul Johan pertandingan perbarisan dalam kategori Sekolah Rendah dan Menengah.

Dalam pertandingan perarakan sempena sambutan ambang merdeka semalam, SM Tsung Tsin Lahad Datu memangi kategori Sekolah Menengah. Sementara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan johan bagi kategori Kereta Berhias.

Menteri Tugas Tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Teo Chee Kang menyampaikan hadiah kepada para pemenang di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

~Juliana (sjk/sharon/roslia/Cov)

~mdre

31/8/2013: Naik Taraf RELA Tingkat Komitmen Dan Kesiagaan Anggota RELA

Langkah menaik taraf Ikatan Relawan Malaysia kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tepat pada masanya.

Ini kerana, ia meningkatkan komitmen dan kesiap-siagaan anggota RELA dalam membantu pasukan keselamatan untuk membanteras jenayah dan mempertahankan kedaulatan negara.

Demikian menurut Pengarah Jabatan Sukarelawan Sabah, Brigadier Jeneral Samasuddin Haji Lawi.

Beliau berkata demikian dalam Program Inovasi Khidmat Awam (PIKA) Radio Malaysia Sabahfm di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kota Kinabalu.

Menurut Brigadier Jeneral Samasuddin, pihaknya akan meningkatkan penyertaan golongan belia dalam RELA. Ini selaras perkembangan terkini teknologi maklumat dan komunikasi.

Setakat ini, terdapat seramai 287-ribu anggota Rela di Sabah, berumur 18-tahun ke atas.

~Juliana (Shon/FM/AJ)

~mdre

31/8/2013: Ekspedisi Raleigh Antarabangsa Borneo Berjaya Sempurnakan Lima Projek Komuniti

Ekspedisi Raleigh Antarabangsa Borneo berjaya menyempurnakan lima projek komuniti di kawasan pedalaman Sabah dalam tempoh 10 minggu, yang berakhir kelmarin.

Antaranya pembinaan tadika baharu di Kampung Abingkoi, penyelenggaraan tadika kampung Tiong dan mengusahakan sistem air bersih untuk tiga kampung terpencil di negeri ini.

Ekspedisi itu juga melaksanakan tiga projek pemuliharaan hutan hujan primer dan hidupan liar di Borneo.

Seramai 159 belia dari 21 buah negara yang menjayakan projek itu diraikan dalam Majlis Penutupan Ekspedisi Raleigh Antarabangsa Borneo 13 E dan F tdi Kota Kinabalu. Ia dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Tawfig Abu Bakar Titingan.

Ketika berucap, Datuk Tawfiq berkata, penganjuran ekspedisi tersebut selaras misi kementeriannya, iaitu membawa perubahan dalam masyarakat khususnya golongan belia di Sabah.

Sejak ditubuhkan di Sabah pada tahun 2002, Raleigh Antarabangsa berjaya menganjurkan lebih 28 ekspedisi di negeri ini.

~Juliana (max/ag/cov)

~mdre

30/8/2013: Rakyat Sabah Perlu Bersatu Padu Pertahan Keamanan Dan Keharmonian Negara

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin mengajak rakyat Sabah agar terus bersatu padu dalam apa jua situasi kerana ia kunci kepada keamanan dan keharmonian sesebuah negara.

Jelasnya, sekiranya perpecahan berlaku, keamanan dan keharmonian akan musnah kerana ada pihak tertentu sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan seperti yang berlaku di negara Mesir ketika ini.

Sehubungan itu, sempena negara meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-56 tahun dan sambutan 50 tahun Sabah maju jaya dalam Malaysia, Datuk Yahya mahu rakyat terus menyuburkan semangat patriotik dan meningkatkan taat setia kepada tanah air tercinta agar terus maju, aman dan makmur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Putatan 2013 di Pejabat Daerah Putatan, Kota Kinabalu.

Datuk Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 tahun peringkat negeri berharap, rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dimainkan pihak tertentu, selain mengambil iktibar daripada insiden berdarah di Lahad Datu dan Semporna awal tahun ini.

Beliau berkata, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang bertungkus lumus memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.

~Maria/Cov-Radik

~mdre