29/3/2017: PEMILIK LADANG DISARAN TANGGUNG KOS PINDAH GAJAH….

Pemilik ladang kelapa sawit diminta menanggung kos pemindahan gajah ke habitat semulajadi bagi meminimumkan risiko kepupusan spesies berkenaan serta mengelak kerosakan harta benda dan kawasan pertanian.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin berkata, kerjasama pemilik ladang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat kampung diperlukan dalam menjalankan usaha konservasi gajah liar di negeri ini.

Katanya, kos pemindahan seekor gajah dianggarkan sebanyak 30-ribu ringgit manakala kos pemasangan kolar satelit untuk memantau pergerakan haiwan itu berjumlah 15-ribu ringgit hingga 20-ribu ringgit untuk seekor gajah.

Justeru, pemilik ladang seharusnya memberikan kerjasama dari segi komitmen menanggung kos pemindahan gajah.

Beliau menyatakan demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Konflik Gajah dan Manusia di Kampung Ulu Muanad, Beluran.

Hussein berkata, penduduk kampung juga diminta melapor segera kepada jabatan itu jika ada gangguan atau kehadiran gajah berhampiran kawasan mereka.

Ini, katanya, bagi membolehkan unit penyelamat hidupan liar mengambil tindakan segera termasuk melakukan pemindahan gajah ke kawasan hutan simpan.

Ends/DNY

Tinggalkan komen