22/12/2013: Pekan Beluran Bakal Berubah Wajah

Pekan Beluran akan berubah wajah melalui pembinaan lebih banyak kawasan kedai baharu dan penambahan prasarana sedia-ada. Ia sejajar usaha meningkatkan kegiatan ekonomi di kawasan itu bagi memberi manfaat kepada penduduknya.

Pegawai Daerah Beluran, Yusop Osman berkata, dua kawasan kedai baharu dijangka siap pembinaannya pada tahun depan, iaitu di Anjung Muara yang dilengkapi bangunan kedai, kawasan persiaran dan bakal menjadi mercu tanda Pekan Beluran.

Projek berkenaan dilaksanakan dibawah Sedcovest Holdings Sdn Bhd, membabitkan kos 4 juta ringgit dan dibina di kawasan berhampiran tebing Sungai Beluran. Yusop berkata demikian di Sandakan.

Menurutnya, pembinaan 21 unit kedai komersil yang merangkumi restoran dan kedai dua tingkat kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun depan. Pejabat Daerah juga menerima cadangan daripada beberapa pelabur untuk membina hotel dan 80 rumah kedai di pekan itu.

Cadangan tersebut diterima memandangkan ia berkepentingan dan diperlukan untuk pembangunan di Pekan Beluran.

Bagi melengkapkan prasarana di daerah itu, kerja naik taraf padang bola sepak Beluran kepada Kompleks Sukan turut dilaksanakan tahun depan, selain pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat. Ia bagi menampung keperluan pembangunan dan pertambahan penduduk.

~Maria (SS/Wan/Stat)

~mdre

Tinggalkan komen