19/06/2015:Hospital Ranau Beroperasi Seperti Biasa

Hospital Ranau beroperasi seperti biasa meskipun daerah itu menghadapi masalah bekalan air paip di tahap kritikal.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr.Christina Rundi berkata, ini kerana Jabatan Bekalan Air serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah membantu menghantar bekalan air bersih untuk kegunaan hospital setiap hari.

Beliau menyatakan demikian ketika dihubungi Bernama di Kota Kinabalu.

Dr.Christina juga merakamkan terima kasih atas sikap prihatin rakyat Sabah yang bukan sahaja melancarkan operasi hospital malah membantu mengurangkan beban penduduk di Ranau.

Khususnya kawasan terjejas yang terkesan berikutan bencana gempa bumi, banjir lumpur dan tanah runtuh. 

Sementara itu, Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K. Ramin ketika dihubungi berkata, kapasiti tangki air yang dibekalkan kepada Hospital Ranau adalah sebanyak 40-ribu liter setiap hari.

Jelasnya, bomba turut menghantar bekalan air ke pusat pemindahan di daerah itu termasuk Dewan Masyarakat Ranau bagi kegunaan mangsa yang ditempatkan di pusat berkenaan.

 
Jane/Bernama
sheryl

Tinggalkan komen